Monday, March 8, 2010

Penyucian Jiwa

Assalamualaikum w.b.t.


Ya Allah, aku hambaMu memohon keampunan dan keredaan dariMu. Lindungilah aku daripada syaitan yang direjam, bisikan hati yang melemahkan serta akal fikiran ynag sempit. Jika ini yang Kau rasa terbaik bagiku, maka berilah aku petunjuk dari sisiMu. Ya Allah yang Maha Berkuasa, jika Kau mahu sesuatu berlaku, maka jadilah ia. Namun, jika ini merupakan bisikan hati yang jahat, Kau pindahkanlah rasa hati ini pada cinta yang lebih agung, iaitu cinta padaMu dan kekasihMu nabi Muhammad saw.

It had been a while since I online. Bukannya niat menghilangkan diri namun mengambil peluang menyahut seruan Ilahi untuk menjadi tetamuNya di Baitullah al-Haram dan Masjid Nabawi. Apa pun, alhamdulillah kerana Allah masih memberiku peluang untuk bernafas di muka bumi ciptaan Ilahi ini dan berkongsi pengalaman yang kukira sangat kuhargai.
Alkisah yang ingin kuceriterakan untuk kali ini tidak lain tidak bukan ingin berkongsi pengalaman mengabdikan diri pada yang Maha Esa di Tanah suci, menjadi tetamu Allah swt dan penziarah Rasulullah saw di Mekah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah menggunakan khidmat Andalusia Travel and Tours Sdn. Bhd.

Perjalanan bermula pada 16 Februari 2010. Kedua ibu bapaku, nendaku dan juga diriku memulakan perjalanan kami dengan perasaan teruja dan sangat gembira. Kami menuju ke KLIA, dihantar oleh Cu Dod, adik ayahku menggunakan kereta ayahku manakala keretanya dipandu oleh Maksu Latifah, isterinya yang turut membawa sepupu-sepupuku. Setibanya kami di KLIA, kami disambut oleh Tokcik Maafor, Tokcik Ani dan anak mereka Emir. Tokcik Maafor yang masih sakit kakinya berkeras untuk bertemu kami di KLIA kerana tidak sempat hadir ke rumah sewaktu Tokmi dan Toksu Nor menziarahi kami sebelum keberangkatan kami ke Tanah Suci.

Setelah beberapa ketika, kami mula berdaftar dan masuk ke lapangan menunggu. Di sana, kami menunggu hampir sejam sebelum dibenarkan masuk ke dalam kapal terbang Arab Saudi. Sepanjang perjalanan kami, video telah dirakamkan untuk tontonan sanak saudara agar dapat membuatkan mereka berasa terpanggil untuk kesana.

Perjalanan dari Malaysia ke Riyadh mengambil masa lebih kurang tujuh jam setengah. Kami terpaksa menunggu selama sejam sebelum kapal terbang berlepas semula ke Jeddah yang turut mengambil masa selama sejam. Jika dihitung, kami berada di dalam kapal terbang selama sembilan jam setengah. Penat tak terkata tapi kami bernasib baik kerana sepanjang tempoh itu, tiga kali juadah disediakan. Dua kali makanan berat iaitu nasi atau kentang dan sekali lagi roti keju tomato. Apabila tiba sahaja di Jeddah, kami dipertemukan dengan mutawif kami sepanjang perjalanan iaitu Ustaz Muhammad Amin bagi bas kami dan Ustaz Suyardi bagi bas 1 Andalusia untuk Kumpulan SV16.

Setelah salam pengenalan, kami meneruskan perjalanan ke Madinah menggunakan bas. Perjalanan ke Madinah pula mengambil masa lebih kurang enam jam, jika tidak dicampur waktu kami berhenti selama hampir sejam untuk solat dan juadah makan malam di Restoran Yaman yang terletak kira-kira satu jam setengah dari Jeddah. Bayangkan kami sangat kepenatan kerana perjalanan yang teramat jauh ini. Moga Allah merahmati perjalanan kami dan perjalanan itu tidak sia-sia. InsyaAllah!





Kami akhirnya tiba di Madinah sekitar jam 4.30 pagi dan diberi masa sejam untuk bersuci dan berkemas sebelum ke Masjid Nabawi untuk menunaikan fardhu Subuh berjemaah.



MasyaAllah, cantiknya masjid yang didalamnya terletak makam Nabi kita, nabi Muhammad saw, Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar ra. Di dalam masjid itu juga terletak Raudhah. Seperti yang telah dinyatakan oleh Rasulullah, di antara rumah dan mimbarnya, terdapat sebuah taman dari taman-taman syurga. Dan kawasan itulah yang dinamakan raudhah. Raudhah juga salah satu tempat makbul doa. Di sebelah luar kawqasan Masjid Nabawi pula terletak Perkuburan Baqi'. Setelah selesai solat Subuh, kami pulang ke hotel untuk beristirahat. Akhirnya semua bangun daripada tidur yang lena itu pada jam sepuluh setengah. Lalu, makyang pun mengajak kami menikmati Kota Madinah. Kami pun turun untuk bershopping buat kali yang pertama.
 






Itulah hari pertamaku di Madinah. Hari kedua pula dipenuhi dengan ziarah. Destinasi pertama kami ialah Masjid Quba', masjid pertama di dunia. Masjid ini juga merupakan masjid keempat yang diberi kemuliaan oleh Allah, iaitu selepas Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa. Dikatakan bahawa sesiapa yang berwuduk di rumah kemudian bersolat sunat di Masjid Quba ini, pahalanya sama seperti mengerjakan satu umrah.


Kemudian kami bertolak pula ke Jabal Uhud, tempat berlakunya Perang Uhud.
Perang ini terjadi pada 3H iaitu selepas Perang Badar, apabila kaum Muslimin menang, kaum kafir tidak berpuas hati. Atas sebab itulah terjadinya perang ini. Pada mulanya pasukan muslimin berjumlah 1000 orang. Setelah diselidik, diantara 1000 orang itu, 300 orang merupakan kaum munafiq. Maka, tinggalllah 700 orang untuk berperang dengan kafir yang berjumlah 3000 orang. Rasulullah memerintahkan pasukan memanah di atas Jabal Ainin agar tidak turun selagi belum mendapat khabar Nabi. Setelah berperang, ternyata kemenangan berpihak pada pasukan Muslimin. Apabila melihat rakan mereka sibut mengutip al-ghanimah, harta rampasan perang, ramai pasukan memanah turun dari bukit untuk membantu. Pasukan kafir pula berpatah balik dan menyerang semula. Ini mengakibatkan ramai sahabat nabi yang gugur di medan peperangan. Pengajarannya, kita perlu sentiasa mematuhi kata-kata ketua.


 
Kemudian kami melalui Masjid Jumaat, masjid pertama didirikan solat Jumaat dan Masjid Ijabah, tempat nabi berdoa 3 perkara iaitu janganlah semua umatnya meninggal disebabkan banjir, janganlah semua umatnya mati kerana tiada makanan dan semoga umatnya bersatu-padu. Masjid Qiblatain pula merupakan Masjid 2mihrab iaitu menghala ke Kaabah dah Masjidil Aqsa. Masjid inilah tempat nabi diperintahkan untuk menukar kiblat kita.


 
Pada hari berikutnya, kami sekeluarga telah ke Medan Magnet di mana kereta dapat bergerak di permukaan datar tanpa perlu menekan minyak. kelajuan kereta pula boleh mencecah 130 km sejam. Inilah salah satu bukti kekuasaan Allah. Kemusian kami singgah di Ladang Unta untuk menikmati susu unta. Apakah kelebihan unta?
  • Susunya digemari Rasulullah
  • Susunya mampu mengubati semput
  • Unta mempunyai sifat pemalu dan ingatan yang kuat
  • Unta akan berhenti pada setiap 100km perjalanannya

Setelah beberapa hari di Madinah, kami bertolak pula ke al-Ula. Setelah perjalanan selama enam jam, kami tiba di sana pada waktu malam. Maka, kami terus merehatkan diri. Pada hari berikutnya, kami bangun awal dan terus menuju ke al-Ula Old City. Bandar lama ini merupakan tempat persinggahan dari Timur ke Selatan. Terdapat pasar, istana, sun dial (menentukan summer dan winter), surau tempat Rasulullah berhenti solat dan fences di sekeliling kota. Setelah diceritakan kisah dan sejarah kota itu, kami terus menuju ke Madain Salleh. Rumah-rumah yang diukir daripadsa gunung itu sangat mengagumkan. Kawasan itu merupakan petempatan Kaum Tsamud, kaum yang ingkar pada Nabi Salleh as. Mereka tidak mahu menerima ajaran nabi Salleh malah meminta bukti bahawa ajaran yang dibawa merupakan ajaran yang benar.Maka, nabi Salleh pun meminta kepada Allah. Allah memperkenankan doanya dan keluarlah seekor unta daripada celah batu.
Mereka masih ingkar dan tetap membunuh unta tersebut. Maka, turunlah azab Allah dengan suara yang membuatkan semua mereka mati dalam keadaan dilaknat oleh Allah. Malah, Allah memelihara petempatan mereka hingga kini dan kawasan itu turut diiktiraf sebagai world's heritage. Setelah beribu tahun, kaum Nabet menjumpai kawasan tersebut. Merka hairan kerana kawasan secantik itu tiada penduduk. Maka, mereka menjadikan kawasan tersebut sebagai kubur orang kenamaan. Namun, kini tiada siapa yang berani mendiami kawasan itu. Dipercayai burung-burung juga tidak menghiasi langit di kawasan itu. Malah, suatu ketika dahulu, apabila diajak sahabat untuk berhenti menghilangkan dahaga, Rasulullah enggan malah menpercepat tunggangan untanya kerana kawasan itu dilaknat oleh Allah. Wallahualam.



 
Setelah menghayati seni ukir yang mengagumkan itu, kami pun berkemas untuk pulang ke Madinah. Di Madinah, kami melakukan shopping terakhir dan juga salam terakhir bagi nabi Muhammad saw. Kemudian, kami bertolak menuju ke Mekah dan perjalanan mengambil masa lebih kurang enam jam menggunakan bas. Kami berihram di Bir Ali dan tiba di Mekah pada pukul 11 malam. Aku dan beberapa orang lagi melakukan niat umrah bersyarat. Apalagi, semua terus melakukan umrah walaupun sudah lewat malam kecuali kami yang berniat bersyarat. Maklumlah, mereka takut nak berada dalam ihram lama-lama. Dikhuatiri melanggar pantang-larang ihram. Nak tak nak aku terpaksa menunggu dan berada dalam ihram selama beberapa hari kerana tidak boleh melakukan salah satu rukun umrah iaitu tawaf. Mungkin ini ujian Allah dan aku reda. Namun, akhirnya Allah memberiku peluang untuk melakukan umrah bagi diriku, arwah nenek dan arwah atukku. Alhamdulillah. Pada hari berikutnya, kami bertolak ke Taif. Kami ke sana untuk menikmati pemandangan di kawasan tempat tinggal Halimatus Saadiah, ibu susu Nabi Muhammad. Kami telah singgah makan di Mus'ab ,sebuah muzium barang-barang antik dan pasar buah yang dipenuhi dengan orang Malaysia. Masalahnya buah-buahan tersebut juga banyak dijual di Malaysia.  Kami miqat semula di Qarnul Manazil. Kemudian, kami kembali ke Mekah untuk umrah kedua.

Hari Rabu pula, kami telah ke Jabal Tsur, tempat nabi bersembunyi bersama Abu Bakar sewaktu dalam perjalanan mereka ke Madinah. Memang tinggi dan tidak dapat dibayangkan bagaimana mereka memanjat jabal yang begitu curam. Kami seterusnya melalui Padang Arafah, Masjid Khaif (masjid tempat 70 nabi pernah bersolat di sana), Perkuburan Maala ( perkuburan Saidatina Khadijah), Masjid Jin (tempat nabi berdakwah pada para jin), Masjid al-Royya (tempat nabi pacakkan bendera kemenangan ketika Fathul Makkah), dan Masjid Syajaratun. Miqat semula di Tanaim.


Pada hari Sabtu pula, kami telah ke Hudaibiyah, tempat Perjanjian Hudaibiyah dilaksanakan. Perjanjian Hudaibiyah ini ditulis pada 6H sebagai tyanda kemenangan Islam. First, nabi Muhammad buat plan untuk menakluki Makkah. Nabi bermimpi mengambil kunci Kaabah dan menunaikan umrah. Lalu, 1500 orang sahabat bersama baginda telah berangkat ke Makkah membawa binatang korban. Mereka berhenti di Asfahan untuk berehat. 200 orang tentera berkuda telah dipimpin oleh Khalid al-Walid (belum memeluk Islam) untuk memantau mereka. Mengetahui perkara tersebut, nabi telah bertukar arah dan menggunakan jalan menuju Mirar untuk mengelakkan peperangan. Nabi juga telah mengutus Saidina Uthman untuk menyatakan hasrat mereka untuk memasuki kota Makkah untuk mengerjakan umrah. Setelah beberapa ketika, telah sampai berita kepada nabi kononnya Uthman ibn Affan telah meti dibunuh. Rasulullah mengumpulkan sahabat di bawah pokok al-Ridhwan untuk berbincang mengenai perkara tersebut. Keputusan diambil dan Nabi menandatangani perjanjian Hudaibiyah dan telah menyembelih seekor kambing sebagai dam seterusnya menunaikan umrah pada tahun berikutnya. Kami bermiqat di Hudaibiyah.

Saya juga berkesempatan mendaki Jabal Nur, tempat nabi mendapat wahyu pertama dari Allah. Kawasannya terang seperti disinari cahaya. Tetapi agak curam dan berbahaya.



Jika ingin melakukan umrah atau haji, dinasihatkan bakal jemaah melakukan persediaaan seperti senaman dan berjogging setiap hari agar badan tidak terkejut ketika bertawaf dan saie kelak.

Sekian sahajalah celoteh saya untuk kali ini. Semoga yang membaca artikel ini memasang niat untuk ke Tanah Suci pada suatu hari nanti. InsyaAllah!

Wassalam

ps : gambar akan ditambah nanti...

No comments:

Post a Comment